Jarang dapat kita temui seorang yang berpengalaman luas dalam isu-isu semasa dalam bahasa Melayu dengan prosa yang menyenangkan.
Pandangan-pandangan Lee segar dan matang dalam banyak isu nasional. Gaya bahasanya lancar, kupasannya menarik – khususnya selepas tiga tahun menyumbang untuk Malaysiakini.com. Kadang-kadang beliau menyelitkan unsur jenaka (tetapi tidak mengada-ngada).
Lee ada kemahiran ini, sentiasa ada – mencari asal-usul, sisi-sisi lain dan merungkai perspektif. Jadi, kepada mereka yang mengejar kejernihan sudut-sudut pandang, untuk memuaskan fakta dan debat tentang isu-isu semasa, buku ini menawarkan hampir semua bab. Tanpa mengecewakan. Walau tentunya, kita tidak perlu bersetuju dengan semua perspektif pengarang. Tetapi seni menghalusi hujah, termasuk berdepan isu-isu yang sendat emosi, yang Lee persembahkan ini akan sering memukau perhatian kita.
Membaca buku ini turut bermakna menerobos cakerawala kesedaran, minat dan tumpuan pengarangnya. Misalnya, politik kaum Cina, projek negara Islam PAS and juga sejarah politik aliran kiri. Malah, kita boleh mengesan susur-galur kaedah logikanya – itu pun kalau kita amat-amati dengan sedar.
Lee, melalui tulisan-tulisan ini, tidak membenarkan dirinya nanar diseret sentimen rendah tetapi melonjak tinggi ke ruang disiplin berdebat yang harus kita semua teliti. Kita tidak mungkin menikmatinya kecuali selepas membaca koleksi ini.
Ketukan Maut
The Boat 










