Menguruskan proses kreativiti dan menangani perubahan yang dibawa dalam organisasi bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana ia melibatkan domain psikologi yang mempunyai kerumitan tersendiri. Oleh itu, siri e-buku ini dihasilkan untuk mendalami subjek ini secara menyeluruh dengan menyediakan analisis yang seimbang dan menyatakan pandangan yang membina bagi tujuan penambahbaikan bersama.
Secara realiti keperluan organisasi kreatif bukan sahaja memerlukan kaedah pengurusan baru malah peranan, gaya, keterampilan dan sokongan kepimpinan yang kreatif turut mempengaruhi bagaimana organisasi berkembang dan memenuhi matlamat yang diingini. Oleh itu siri ketujuh eBuku ini memfokuskan bagaimana sesebuah organisasi atau secara tepatnya peranan kepimpinan mendepani staf yang kreatif, memberi rangsangan yang tepat, penghargaan dan latihan yang bersesuaian. Tumpuan ini amat diperlukan kerana banyak aktiviti di dalam organisasi menemui kegagalan kerana kaedah pengurusan sumber manusia yang mempunyai kemahiran kreatif dan inovatif dengan pendekatan yang tidak tepat. Malah ia sering didominasikan dari sudut yang sempit seperti pengekalan kuasa dan status quo, kecelaruan pembahagian tugas, pertembungan budaya dan sebagainya.
















